Sunday 1 October 2017

Prolog ~ Kerinduan




LANGKAH dihayun cukup panjang, deras dan terlihat sangat gagah. Sebaik sahaja memasuki ruang kedai Flower Blooms, sepasang mata coklat milik Din meliar mencari bunga dahlia. Din hanya mahu dahlia. Bunga lain Din tak pandang.

Kalau hendak tahu, Din perlukan bunga dahlia demi mencuri hati seorang gadis. Namanya Dahlia Asyikin. Doakan Din berjaya dalam misinya menjadi kekasih orang hari ini.

Puas mencari, barulah mata Din menemui Dahlia. Dahlia yang dicari Din tinggal tiga kuntum. Warna ungu saja yang tinggal. Bolehlah, dari tidak ada langsung.

Belum sempat Din meraih tiga kuntum dahlia tersebut, ada tangan halus lain yang lebih dahulu memintas. Besar terus kedua belah mata Din.Mata Din besar bukan sebab bunga dahlianya diambil, tetapi sebab terkejut melihat pemilik tangan halus tadi.

Staf Hong Leong Bank. Namanya Hajar. Jawatan... Erm, kalau tak salah nampak, macam Account Relationship Executive. Din boleh tahu semua maklumat ini sebab pemilik tangan halus itu memakai lanyard Hong Leong Bank Berhad. Cuma tidak diketahui dia bekerja di cawangan mana.

Jangan salah faham. Bukan fakta di atas yang buat Din terkejut, sebaliknya fakta di bawah.

Rambut Hajar bercat perang dan dihighlight warna ungu sedikit. Solekannya tidak tebal, tetapi bibirnya merah menyala-nyala. Baju yang dipakainya paling menyerlah.
Baby T warna merah darah dipadankan dengan mini skirt (atas sedikit dari lutut) warna hitam putih, berbelang-belang seperti badan nyamuk aedes. 

Oh, kasutnya bertumit runcing setinggi... Err... Din tak tahu berapa inci. Din tak arif.

Din pandang ke bawah lagi, kemudian atas semula. Aduh mak, longgar iman Din. Mata Din jadi jahat. Matanya menikmati sesuatu yang tidak halal. 

Lebih teruk, dia sempat menelan liur sebanyak dua kali. Din sempat lupa pada Dahlia Asyikin.

"Kurang ajar!"

Aduh mak, pedihnya muka Din. Pedih sebab dilibas tiga kuntum dahlia warna ungu.

"Dasar lelaki miang!"

Din buka matanya luas-luas. Dalam permasalahan sekarang, kesalahan bukan terletak sepenuhnya pada Din. Salah Hajar juga. Siapa suruh sarung pakaian budak kecil.

"Wait, this is..."

Sekali lagi muka Din dilibas. Hilang terus ayat bela diri Din. Berpinar pandangannya. Selepas itu dia ditinggalkan.

Din tak kisah ditinggalkan si Hajar meroyan tersebut. Din lagi suka. Yang Din kisahkan sekarang, siapa nak bayar gantirugi bunga yang rosak ni? Siapa? Sila jawab.


***
- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -



No comments:

Post a Comment