Sunday 1 October 2017

Bab 05 ~ Kerinduan


MAJLIS doa selamat dah tahlil yang diadakan berjalan dengan lancar. Meskipun hanya dibuat secara kecil-kecilan, segalanya nampak sempurna. Tetamu yang dijemput pun cuma saudara terdekat dan kenalan rapat. Din yang memberi syarat begitu kepada emaknya. Menurut Din, tidak perlu diadakan secara besar-besaran.

Sebenarnya ada satu lagi syarat Din. Bila Din suarakan, emaknya terus melenting.

"Kenapa tak boleh jemput Hajar pula? Hajar tu dah macam anak perempuan mak. Tak salah kalau dia datang."

"Mak, Hajar tu bekas menantu mak saja. Mak tak payahlah nak angkat darjat dia sampai jadi anak perempuan mak. Dia orang luar. Saya tak naklah orang yang bukan ada apa-apa hubungan dengan kita datang sekali majlis tu nanti."

"Sejak bila Din kedekut tangkai jering ni?"

"Bukan soal kedekut tangkai jering atau tak, mak. Tapi ini soal keluarga kita. Lagipun..."

"Tak payah risau. Hajar pun tak nak datang ke majlis tu nanti. Memang padanlah Hajar beriya-iya tolak jemputan mak, sebab dia dah tahu perangai Din macam mana."

Mahu saja Din hamburkan cerita Hajar menutup talian telefon ketika dia masih rancak berdebat pada emaknya. Biar emaknya tahu perangai sebenar Hajar tu macam mana.

"Mak beri amaran ni, jangan cari fasal dengan Hajar. Kalau Din buat juga, mak marah."
Begitu sekali emaknya menjaga kebajikan Hajar. Kebajikan Din sebagai anak kandung pula diabaikan.

"Selamat Din. Dah dapat master."

Ingatan Din tentang perbualan dua hari lalu mati. Senyuman segera dilemparkan pada tetamu terakhirnya, sebelum tubuh tetamu terakhir itu dirangkul erat. Setelah berborak seketika, barulah tamu terakhir itu dilepaskan pergi.

Kemudian Din mula membantu mengemas rumah dan menghantar pinggan kotor untuk dicuci.

​"Din, tak payahlah angkat pinggan kotor tu. Kami boleh buat. Din berehat. Penat naik kapal terbang pun mesti belum hilang ni. Dah, pergi berehat," bebel Pak Long Johari. Tubuh Din segera ditolak keluar dari kawasan mencuci pinggan.

​"Saya boleh tolong, Pak Long."

​Rayuan Din diabaikan. Tubuhnya berterusan didorong keluar dari kawasan mencuci pinggan mangkuk kotor. Lihatlah, Din telah didorong sehingga ke ruang tamu.

​"Din."

​Suara Mak Cik Arifah. Wajah tua itu nampak sedikit risau. Namun hati Din lega. Sekurang-kurangnya, emaknya sudah mahu berbual dengannya. Kalau hendak tahu, Mak Cik Arifah telah memberikan silent treatment pada Din. Semuanya gara-gara Hajar.

​"Ada apa, mak?"

​"Mak macam tak nampak Dahlia. Atau mak yang tak perasan Dahlia datang?"

​Tanpa sedar Din mengeluh. Mujurlah keluhannya tidak kuat. Din lebih rela kalau emaknya bertanya fasal Hajar, berbanding Dahlia. Nama Dahlia mengundang luka teruk pada hati Din.

​"Din gaduh dengan Dahlia ke?"

​Din masih membisu seribu bahasa. Otaknya ligat mencari alasan supaya emaknya tidak bercakap tentang Dahlia lagi. Cerita Dahlia dan Din telah tamat!

​"Tak adalah, mak. Kami okey saja."

​"Kalau okey saja, kenapa Dahlia tak datang?"

​Din mati kutu mencari jawapan. Bibirnya bergerak-gerak mahu menuturkan ayat, namun tersangkut.

"Din, mak tanya ni."

​"Dahlia sibuk," dalih Din dalam usahanya menutup kisah cintanya yang runtuh. Din belum bersedia berkongsi cerita duka tersebut. Kalau emaknya tahu, pasti emaknya ikut bersedih. Iyalah, emaknya suka sangat dengan Dahlia. Malah emaknya sudah memasang angan mahu menghantar rombongan melamar Dahlia setelah Din tamat belajar.

​"Din tak jemput Dahlia, kan?"

​Din dilarang keras menjemput Dahlia. Dahlia telah sah sebagai isteri orang. Dan pada masa sekarang, Dahlia sudah terbang ke Eropah untuk cuti bulan madunya. Dia hanya merasa hampas yang ditinggalkan.

​"Din?" desak Mak Cik Arifah dengan wajah yang sengaja diseriuskan.

​"Kalau mak tanya, cuba jawab betul-betul. Din dengan Dahlia ada masalah apa sebenarnya?"

​Sorotan Din jadi kabur. Kepalanya ditundukkan.

​"Tak masalah dalam dunia ni yang tak ada jalan penyelesaian. Yang penting Din dengan Dahlia saling bertolak ansur."

​"Din lupa nak ajak Dahlia. Itu saja masalahnya," cerita Din tiba-tiba. Cerita bohong yang baru muncul dalam otaknya sebentar tadi.

​"Lupa?" tekan Mak Cik Arifah. Sepasang matanya dijengilkan tanda marah.

​"Macam mana boleh lupa? Perkara penting tu, Din. Memang patutlah Dahlia kecil hati. Mak call, dia tak jawab. Mak hantar pesanan, tapi tak dibalas."

Mak Cik Arifah menghampiri Din. Bersama sentuhan lembut pada lengan Din, dia mulai memujuk dengan suara yang sangat lembut.

​"Din, mak suka Dahlia. Mak sayang Dahlia. Mak nak hubungan Din dengan Dahlia sampai ke jinjang pelamin. Mak ni, kalau boleh minggu depan nak hantar rombongan melamar ke rumah Dahlia. Kita cop Dahlia dulu. Nanti kalau lambat, ada kumbang lain yang potong niat kita."

​Kasihannya Mak Cik Arifah. Dia masih berharap pada Dahlia, sedangkan Dahlia takkan balik ke sisi Din lagi. Din anak bekas pesara polis, takkan mampu hendak melawan anak Datuk ternama seperti Yusuf.

​"Melamun lagi. Mak serius ni, Din. Kalau Din mamai-mamai pun, mak boleh hantar rombongan melamar terus ke rumah Dahlia."

​"Mak," seru Din akhirnya. Jari tangan emaknya digenggam erat sebelum ditarik lalu emaknya disuruh duduk disofa.

​"Ada hal yang Din rahsiakan tentang Dahlia. Din fikir sekarang bukan masa yang sesuai nak beritahu mak. Tapi kalau mak sampai dah terfikir nak hantar rombongan melamar, Din rasa Din tak boleh simpan lagi rahsia ni."

​"Rahsia apa pula ni, Din? Din jangan buat mak takut."

​Din menghela nafas panjang. Bersama sorotan memohon pengertian, bibirnya memulakan cerita.

​"Kalau boleh lepas ni, mak tak perlulah cari Dahlia lagi. Jangan pernah fikir lagi nak hantar rombongan melamar. Dah ditakdirkan Dahlia bukan untuk Din."

"Maksud Din ni apa?"

"Maksud Din, kalau mak berterusan cari Dahlia, tak elok untuk rumah tangga Dahlia. Din bimbang suami Dahlia salah faham. Din tak nak Dahlia bergaduh dengan suami dia sebab Din."

"Suami? Dahlia dah kahwin? Bila?"

"Tiga hari lepas."

Mengucap panjang Mak Cik Arifah dibuatnya. Lemah sekujur tubuhnya mendengar berita yang Din khabarkan. Sumpah, Mak Cik Arifah sudah memasang angan tentang majlis perkahwinan Din dan Dahlia. Nampaknya hasrat Mak Cik Arifah takkan kesampaian. Hasrat Mak Cik Arifah lebur di tengah jalan.

"Kenapa Din tak cerita dekat mak awal-awal?"

"Din tak nak mak susah hati."

"Bila Din tak cerita dan mak baru tahu sekarang, mak lebih susah hati. Mak dah sebut-sebut hal melamar, padahal Din dah putus dengan Dahlia. Mak minta maaf, Din."

"Hal kecil saja, mak."

Din bohong. Kehilangan Dahlia adalah hal besar dalam diri Din. Ada lompong besar dalam hatinya sejak Dahlia bukan lagi miliknya.

"Mak harap Din tabah dengan ujian ni. Mak yakin, ada jodoh yang lebih baik untuk Din. Cuma mak tak sangka, Dahlia sanggup tinggalkan Din sebab lelaki lain."

"Bukan Dahlia mak, tapi Datuk yang tak suka Din."

Mak Cik Arifah menekup mulutnya. Bulat matanya menuntut penjelasan daripada Din.

"Datuk nak menantu yang setaraf."

Lekas-lekas Mak Cik Arifah menarik tubuh anak bujangnya ke dalam pelukannya. Tubuh gagah itu dipeluk dengan cukup erat. Bibirnya tidak lepas menitipkan kata semangat supaya anak bujangnya boleh bangun semula dari runtuhan cinta yang tidak kesampaian.

​"Datuk dah rugi besar sebab tak jadikan anak mak menantu. Anak mak ni menantu terbaik dalam Malaysia ni."

​Panjang senyuman Din mendengar ayat pujukan emaknya kali ini.

​"Din tak cukup baik dimata Datuk."

​"Tak, Din yang terbaik. Mak tahu sebab mak yang besarkan Din. Datuk salah pilih menantu."

​Perlahan-lahan Din membalas rangkulan emaknya. Emaknya kalau bab memujuk, memang Din termakan pujuk.

​"Bonda!"

​Serta-merta pelukan Din terlerai. Suara nyaring Aliff menarik perhatiannya.

​"Bila bonda nak datang sini? Kita rindu bonda la."

​Manjanya suara Aliff. Rengekannya mendayu.

​"Mak, Din rasa kita tak patut biarkan Aliff rapat sangat dengan Hajar."

​Giliran Mak Cik Arifah pula yang mengeluh.

​"Biarlah, Din. Mak tak kisah."

​"Mak patut kisah. Mak patut rasa pelik. Arwah abang Fadhil dah tak ada. Hajar tu ada urusan apa lagi dengan Aliff?"

​"Aliff kan anak dia juga."

​"Pembetulan, mak. Bekas anak tiri."

​"Hajar tak pernah anggap Aliff anak tiri. Jadi janganlah sebut tiri tu. Kalau Aliff dengar, sedih budak tu nanti."

​"Lagi elok sedih sekarang dari sedih berpanjangan. Hajar tu dah tak ada hubungan dengan Aliff lepas arwah abang Fadhil pergi. Sepatutnya dia tak kacau Aliff lagi."

​Tergeleng-geleng kepala Mak Cik Arifah mendengar semua ayat yang meluncur keluar dari bibir Din. Din nampak terlalu emosional kalau hal yang berkaitan Hajar.

​"Aliff suka dengan Hajar. Mak pun suka Hajar. Mak rasa tak ada masalah kalau Aliff rapat dengan Hajar."

​"Din tak suka. Dia orang luar sekarang. Mana tahu, dia baik-baik dengan Aliff sebab ada maksud tersirat."

​Kali ini Mak Cik Arifah mengucap panjang. Din sudah mereng sedikit kepalanya sejak putus cinta dengan Dahlia.

​"Cuba kepala tu fikir positif sikit. Hajar bukan perempuan macam tu. Walaupun Hajar sempat jadi menantu mak sebulan..."

​"Pembetulan lagi sekali, mak. Dia jadi menantu mak tak sampai sebulan," pangkah Din dengan muka tanpa perasaannya.

​"Iya, tak sampai sebulan. Tapi mak rasa Hajar dah jadi menantu mak bertahun-tahun lamanya. Din belum kenal Hajar, sebab tu Din cakap macam ni."

​"Mak, jangan benarkan Aliff rapat sangat dengan Hajar. Din tak benarkan. Kalau dia degil, Din buat laporan polis."

​Sekali lagi Mak Cik Arifah mengucap panjang. Lengan anak bujangnya ikut dicubit sekuat hati. Terjerit-jerit Din dibuatnya menahan sakit.

​"Cubalah buat laporan polis kalau nak mak bertukar jadi emak paling garang dalam Malaysia ni."

​"Tapi mak..."

​"Kenal Hajar dulu. Lepas tu baru Din buat keputusan sama ada nak benarkan Aliff rapat dengan Hajar atau tak."

​Keluhan panjang Din yang membalas permintaan Mak Cik Arifah. Din mahu lagi berdebat, tetapi emaknya sudah mengangkat punggung. Nampak benar Mak Cik Arifah penat hendak melayan perangai berat sebelah Din pada Hajar.

​"Din."

​Din berpaling ke arah emaknya.

​"Nasib baik batu belah batu bertangkup tu tak wujud. Kalau wujud, dah lama mak bawa diri ke sana. Biarlah batu belah batu bertangkup tu makan mak. Ada anak pun, tak dengar nasihat mak."

​Dush! Sebiji batu besar baru saja bergolek lalu melanggar Din. Din cedera parah.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment