Sunday 1 October 2017

Bab 04 ~ Kerinduan


KALENDAR di atas meja kerja dicapai. Pen warna merah diambil lalu tarikh 05hb. Februari dibulatkan besar-besar. Kalau hendak tahu, itu tarikh majlis doa selamat sempena kepulangan Din dan tahlil untuk arwah abang Fadhil. Awal-awal lagi Hajar sudah memaklumkan pada bekas emak mertuanya tentang ketidak hadirannya nanti dimajlis tersebut. 

Seperti yang semua tahu, Hajar guna alasan balik ke kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan. Hajar belum ada hati hendak berjumpa dengan Din. Din macam kuman, dan Hajar belum menemukan antibodi sesuai.

Telefon bimbit pintar Hajar berbunyi. Nombor telefon rumah bekas emak mertuanya naik. Sedikit teragak-agak, Hajar menjawab panggilan tersebut. Meski kemungkinan Din yang menghubunginya adalah kosong peratus, hati Hajar tetap mengalami debaran.

"Assalamualaikum, bonda!"

Bukan main kuat lagi suara Aliff. Pasti Alif sedang gembira di sana. Suara riang Aliff jadi bukti, seperti ada sesuatu yang tidak sabar-sabar lagi mahu dikongsikan dengan Hajar.

"Kesayangan bonda sihat hari ni?" Hajar memancing perbualan setelah selesai menjawab salam si comel tersebut.

"Mestilah sihat, bonda."

Jangan tidak tahu, Aliff lebih hebat memancing perbualan. Mungkin menurun dari arwah abang Fadhil.

"Anak bonda ni happy tak dekat sana?"

"Haaaapppyyyyy sangat bonda! Tapi mesti lagi happy kalau bonda ada sekali dekat sini."

Senyuman terukir pada bibir Hajar. Mendengar suara Aliff pun sudah menitipkan rasa nyaman. Mendadak Hajar jadi perindu. Hajar mahu melihat keletah Aliff secara langsung.

"Bonda sibuk, belum dapat ke sana."

"Macam ni, bonda bagi tahulah Cikgu Syifa bonda nak datang sini. Nanti mesti Cikgu Syifa kasi kerja sikit saja dekat bonda. Bila kerja bonda sikit, nanti bonda tak sibuk sangat."

Aliff bukan saja pintar memancing perbualan, dia juga bijak memujuk. Tergagap-gagap Hajar dibuatnya mencari akal.

"Bonda senyap ni maksudnya bonda setuju datang sini, kan?"

Ewah, laju sungguh Aliff membuat keputusan untuk Hajar.

"Dekat sini best sekarang bonda. Dulu ada Mak Tok saja, sekarang dah ada uncle Din. Uncle Din terbaik."

Kalau Aliff hendak tahu, sebab uncle Din kesayangan Aliff itulah Hajar tidak berani datang ke rumah bekas emak mertuanya. Hajar rasa tidak selamat.

"Uncle Din baik sangat, bonda. Uncle Din belikan banyak-banyak mainan untuk kita. Bonda cepatlah datang sini, kita nak tunjuk semua mainan kita dekat bonda. Bonda mesti terkejut."

Satu perkara yang Hajar tidak suka adalah, bila Aliff dimanjakan dengan mainan yang terlampau banyak. Kalau boleh, Hajar mahu mengajar Aliff betapa susahnya hendak mendapatkan satu mainan. Aliff mesti berusaha untuk mendapatkan mainan tersebut.

"Bonda datang esok tau. Kita tunggu. Kalau bonda tak datang, kita tak naklah balik rumah bonda lagi. Kita nak tinggal sini terus."

Talian tiba-tiba putus. Terbeliak mata Hajar. Ini sengaja putuskan talian supaya lebih dramatik atau memang betul-betul tak sengaja?

Hajar menunggu seminit. Dua minit dan berlarutan sehingga lima minit. Hajar mengalah dan dia mula menekan nombor telefon tetap rumah bekas emak mertuanya. Sekejap saja talian telah bersambung.

"Aliff, bonda ni. Tadi kenapa? Bonda tak habis cakap lagi Aliff dah matikan talian. Bonda nak merajuklah kalau macam ni."

Sepi saja di hujung talian. Tidak seperti selalu. Selalunya Aliff pasti sudah terjerit-jerit memintanya supaya tidak merajuk.

"Aliff?" ulang Hajar bersama kerutan di dahi. Kemudian Hajar melihat skrin telefon bimbit pintarnya, mahu memastikan dia tidak salah nombor. Kalau salah nombor, tebalnya muka Hajar.

"Awak ni siapa?"

Terhenti helaan nafas Hajar. Suara garau di hujung talian sana terdengar begitu asing. Mendadak tubuh Hajar mengeras seperti kayu jati. Sekali lagi dia menilik nombor yang sedang dihubunginya. Dalam kepalanya sekarang penuh dengan nama Din. Nampaknya malapetaka sudah datang.

"Sorry, saya salah nombor."

"Tak mungkin salah nombor," selar suara di hujung talian. Suaranya terdengar dalam, seperti sedang marah.

"Kenapa cari Aliff? Awak nak buat apa dengan Aliff?"

Hajar boleh berpeluh satu badan kalau berterusan menerima soalan berstatus curiga begini. Sudah tiga kali Hajar menelan liur. Rasanya sangat pahit. Din benar-benar memberi rasa tidak selesa pada Hajar.

"Apa hubungan awak dengan Aliff?"

Aduh, makin banyak pula soalan Din di hujung talian sana. Tak bolehkah dia bertanya dalam nada yang sopan?

 "Aliff anak saudara saya. Saya tak nak orang luar kacau Aliff. Jadi sebelum saya benarkan awak bercakap dengan dia, saya nak tahu fasal awak. Saya tak nak ada hal yang buruk jadi dekat Aliff."

Ini sudah melampau. Hajar bukan orang luar. Hajar bonda Aliff. Walaupun bukan Hajar yang melahirkan Aliff, Hajar tetap bonda Alif. Muktamad!

"Jangan senyap macam penjahat."

Berdesing-desing telinga Hajar bila disamakan macam penjahat.

"Saya bonda Aliff." Suara Hajar sangat meyakinkan. Hajar takkan goyah kalau melibatkan status hubungannya dengan Aliff dipertikaikan. Din mesti disedarkan tentang fakta tersebut.

"Heh? Bonda Aliff? Awak ni minum ketum ke?"

Sinis sekali suara Din di hujung talian tersebut. Seolah-olah dia memandang Hajar sebelah mata. Pembetulan, sepatutnya memandang Hajar tanpa mata. Lebih menyakitkan hati bila Hajar disyaki minum ketum.

"Bonda Aliff dah lama meninggal. Jadi saya nasihatkan, awak jangan suka-suka nak mengaku sebagai bonda Aliff. I will sue you."

Panjang keluhan Hajar. Din yang berada di hujung talian sana benar-benar dungu atau buat-buat dungu?

"Saya Hajar, isteri arwah abang Fadhil."

"Oh."

Hanya sepatah sahutan Din kali ini.

"Atas urusan apa awak nak bercakap dengan Aliff?"

"Urusan kasih sayang."

"Urusan kasih sayang? Jangan berguraulah, Hajar. Sebab sikit pun tak lucu."

Bungkam. Hajar sudah mengambil inisiatif diam lebih baik dari berkata-kata. Semakin Hajar memberi penjelasan, semakin ligat Din memutar belit semua ayat penjelasan Hajar. Nanti kalau sampai Hajar hilang sabar, Din juga yang terkejut kalau Hajar bertukar menjadi raksasa.

"Let me guess, awak sebenarnya nak bincang fasal harta peninggalan arwah abang Fadhil. Supaya awak boleh kaut semua harta tu dan kemudian awak tinggalkan Aliff sehelai sepinggang. Ingat sikit Hajar, makan duit anak yatim ni hukumnya dosa besar."
Hajar sedang berusaha keras mengatur nafasnya yang berantakan. Hajar perlu bertenang dan tidak cepat melenting.

"Sekarang bolehlah awak berlagak. Tapi bila dibangkitkan semula nanti, awak tahulah azab awak macam mana. Kalau awak tak tahu, biar saya tolong jelaskan. Golongan manusia yang makan harta anak yatim ni, dibangkitkan dalam keadaan keluar api menyala-nyala dari mulut, telinga, hidung dan mata. Awak tak takut?"

"Golongan manusia yang suka menuduh tanpa usul periksa, dibangkitkan dalam keadaan macam mana pula? Tolong jelaskan sebab saya tak tahu," tempelak Hajar dengan beraninya. Boleh tahan sakit hatinya bila Din asyik kaitkan dia makan harta anak yatim.

"Jangan berlagak suci sangatlah, Hajar."

Hajar memicit pelipisnya. Tangannya nampak bergetar menahan marah di hati.

"Din, awak tak pernah berubah, kan?" aju Hajar sebelum mematikan talian. Sesi bertekak dengan Din mesti ditamatkan. Cukuplah. Berilah Hajar ruang untuk menenangkan hatinya yang berasap.

Hajar berani angkat sumpah, Hajar tak pernah guna sesen pun harta peninggalan arwah abang Fadhil. Semua belanja hari-harinya dengan Aliff, dia gunakan duit gaji dan simpanannya selama ini.

Hajar nyaris melompat turun dari katil ketika telefon bimbitnya kembali berbunyi. Saat matanya melihat nama pemanggil yang terpamer, Hajar geleng-geleng kepala. Kalau panggilan tersebut dijawab, nahas Hajar nanti jadi mangsa soal siasat. Silap gaya, Hajar boleh mengamuk kalau berterusan dituduh cuba untuk mengaut harta anak yatim.

Akhirnya panggilan mengerikan itu tamat. Hajar sudah boleh menghela nafas panjang. Perlahan-lahan Hajar turun dari birai katil. Hajar mahu minum. Tekaknya kering bila dihubungi oleh bekas adik iparnya yang garang.. Hajar harap, garang Din tidak menurun kepada Aliff.

Belum cukup tiga langkah, telefon bimbit pintarnya kembali berbunyi. Kali ini bukan nombor talian tetap bekas emak mertuanya yang naik, tetapi nombor talian mudah alih orang tua tersebut. Besar kemungkinan Din mengadu sebab Hajar tidak menjawab panggilannya. Jadi sekarang bekas emak mertuanya bertindak sebagai pendamai.

"Ya, mak?"

"Jangan suka-suka panggil mak saya mak. Lagipun mak saya dah tidur. Saya yang belum tidur. Saya nak selesaikan hal dengan awak malam ni juga. Saya tak nak awak asyik kejar Aliff. Selagi saya ada, jangan mimpi awak dapat sentuh harta arwah abang Fadhil. Harta tu milik Aliff."

Hajar mengeluh dalam hati. Sangkanya bekas emak mertuanya yang membuat panggilan. Rupa-rupanya Din sudah memanipulasi telefon bimbit bekas emak mertua Hajar. Dan Din pun bercakap bohong. Hajar tahulah waktu tidur Mak Cik Arifah pukul berapa.

"Saya tak pernah ada hal dengan awak. In fact, saya tak nak ada hal sikit pun dengan awak. Awak yang cari hal dengan saya sekarang. Maaf, ada pembetulan sikit. Bukan cari, tapi sebenarnya awak sengaja buat hal. Hal yang tak wujud, awak ada-adakan. Faham maksud saya?"

"Apa dia?!"

Hajar menjauhkan gagang telefon. Suara sergahan Din seperti Tarzan yang cawatnya tertanggal dan tersangkut di celahan dahan pokok.

"Macam inilah Encik Din, saya malas nak bertekak dengan awak. Lagipun dah malam. Esok saya nak kerja. Kalau boleh, sebelum saya tidur saya nak tenangkan diri. Bukan nak dengar awak tinggikan suara dan mencarut tentang perkara yang mengarut."

Hajar sempat menangkap tawa sinis Din.

"Hajar, arwah abang Fadhil dah tak ada. Suka saya jelaskan dekat sini, bila arwah abang saya dah tak ada, secara tak langsung hubungan awak dengan kami putus. Termasuk hubungan awak sebagai bonda Aliff. Faham?"

Dasar Din king kong! Tahu mengamuk saja. Dia itu siapa nak putuskan hubungan Hajar dengan Aliff?

Hajar menyentuh butang merah pada telefon bimbitnya. Panggilan sekali lagi telah ditamatkan. Harap maklum.

Oh, tidak cukup dengan mematikan talian, Hajar turut mematikan telefon bimbitnya. Barulah aman dunia.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment