Sunday, 5 January 2014

#Cerpen - Doa Cinta Seorang Lelaki

Suara tetamu dari luar bilik hampir hendak membuat Nadine Qhaisara jatuh pengsan. Berkerut-kerut dahi Nadine.

“Suami kau kacak sangat! Aku rasa aku sudah jatuh hati dengan suami kau Nadine. Tadi dia senyum kat aku. Cair rasanya sekeping hati aku ni. Tahniah Nadine! Pandai kau pilih bakal suami. Senyap-senyap saja kemudian terus kahwin. Kau buat aku dengan Nana terkejut sampai nak pengsan,”pekik Suraya dengan wajah yang sangat bahagia. Mengalahkan muka pengantin perempuan pula. Bukan main berseri-seri lagi wajah Suraya saat ini.

Kening Nadine Qhaisara sudah terangkat-angkat sedikit. Kacak sangat? Suraya ni mata juling ke?

“Nana kirim salam. Dia tak dapat datang. Kami berdua doa semoga kau hidup bahagia hingga ke akhir hayat bersama suami tersayang,”begitu kata Suraya, teman baiknya. Suraya sudah memeluknya erat, kemudian mengucup kedua belah pipinya.

Pembetulan Puan Suraya, bukan hidup bahagia. Tapi hidup huru-hara dan penuh kekusutan di sana sini.

Entahlah.. Hidupnya sudah berpusing 360 darjah sejak dia bertemu dengan lelaki yang sudah sah bergelar suaminya sekarang.

Dia hanya mampu mengulum senyum tipis. Hatinya kosong. Perasaannya kacau. Jiwanya entah sudah melayang ke mana. Selalunya dia hanya membaca kisah-kisah novel tentang kahwin tanpa cinta. Siapa sangka dia sedang melaluinya. Sedih? Tentu saja!

Nadine yang baik hati , cinta selepas kahwin itu lebih indah. Percayalah! Ayah dan ibu Nadine pun bercinta selepas kahwin. Mereka bahagia sampai sekarang

Memang, tapi itu zaman tok kadok dulu. Zaman sekarang sudah moden. Zaman sekarang bercinta dulu baru kahwin.

Haih.. Sebab teori begitulah kes pembuangan bayi semakin meningkat pada zaman moden ini. Zaman tok kadok dulu mana ada.

Nadine bukan macam itu. Nadine masih tahu jaga air muka ayah dan ibu. Nadine pun orang Islam. Nadine tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Nadine yang manis, kenali dulu hati budi suamimu itu ya. Dia itu lelaki baik, bertanggungjawab, penyayang, rajin, pandai mengambil hati orang tua, kacak dan paling penting sekali, dia lelaki beriman.

Tapi nama dia Abu Hanifah! Nadine nak panggil dia Han, dia tak suka. Nadine nak panggil dia Hani atau Ifah, terasa seperti nama perempuan pula. Sudahnya dia suruh Nadine panggil dengan nama Abu. Alahai.. Geli geleman tekak Nadine ni. Macam tak ada nama lain hendak di gunakan. Abu juga jadi pilihan.

Ada apa dengan sebuah nama? Nama Abu pun bagus juga. Romantik dan ringkas.

Romantik? Bukan macam nama orang tua ke?

Nadine sudah memicit dahinya berulang kali. Kepalanya sakit memikirkan masa depannya yang gelap dan tanpa arah. Hidup bersama Abu Hanifah sebagai suami isteri? Oh tidak! Membayangkan perkara tersebut hatinya sudah seperti mahu menangis kuat-kuat.

Kenangan tiga bulan lalu seperti layar perak menari indah di ruang mata. Kalaulah masa bisa diputar semula, sumpah, Nadine tidak akan keluar rumah hari itu.

“Lando nak pergi mana tu? Jangan keluar!”laung Nadine bila kucing kesayangannya si Orlando sudah pun melepasi pintu pagar.

“Degil Lando ni. Siaplah dia nanti. Aku dapat aku buat gulai. Suka sangat keluar rumah. Lepas tu gaduh dengan kucing jiran sebelah. Kalau menang tak apalah juga. Ini tidak, luka sana-sini,” omel Nadine sambil berlari anak untuk mengejar langkah si Orlando.

Orlando seperti biasa, berjalan dengan megahnya menuju ke rumah jiran sebelah. Konon hendak mengintai musuh tradisi.

“Lando sayang, mari sini. Jangan masuk rumah Mak Jah. Nanti Mak Jah marah,” pujuk Nadine dengan lemah lembutnya.

“Nya~.. Ching ching ching ching ching~,” pujuk Nadine terus. Kebiasaannya Orlando sudah berlari ke arahnya kalau dipanggil begitu.
Cuma hari ini keadaan agak aneh sedikit. Orlando sekadar menegakkan ekor. Sekilas Orlando menoleh ke arah Nadine sebelum melangkah dengan selambanya memasuki rumah Mak Jah.

“Cis! Memang nak kena masak gulai lemak si Lando ni. Siaplah dia,” gerutu Nadine. Tanpa banyak bicara lagi dia ikut membuka pagar rumah Mak Jah sambil terhendap-hendap di sebalik pokok-pokok bunga di sana.

“Nya~.. Ching ching ching ching ching~,” panggil Nadine. Saat Orlando berhenti memberi perhatian padanya, terus dia menerkam Orlando yang nakal itu.

Sayangnya Orlando terlalu tangkas untuk ditangkap. Tanpa ampun lagi, Orlando terus memasuki rumah Mak Jah. Orlando sudah membuat rumah Mak Jah bagaikan rumahnya sendiri. Melampau betul si Orlando itu, kan?

Nadine menghela nafas berat. Mencuba menenangkan hatinya yang panas dek kerana telatah si Orlando pagi ini. Dengan berhati-hati dia memasuki rumah Mak Jah. Matanya mengekori langkah kaki Orlando memasuki ruang dapur.

“Nadine tumpang masuk rumah, Mak Jah,”bisik Nadine sendiri. Sekali lagi dia terhendap-hendap disebalik mesin basuh Sambung Mak Jah. Takut pergerakannya dapat di kesan oleh si Orlando yang licik lagi tangkas itu.

Bukan main lagi gelagat Orlando. Bagaikan boss besar. Selamba saja si Orlando menjatuhkan tubuhnya yang gemuk ala-ala Garfield itu di depan pintu bilik air. Kemudian menjilat-jilat bulunya dengan penuh asyik. Langsung tidak peduli pada hati Nadine yang mulai hangat membahang.

“Jaga kau, Lando,”gerutunya seraya berlari untuk menerkam Orlando.

“Dapat pun! Mana Lando nak lari lagi ha?”ujar Nadine dengan gembiranya.

Bibirnya melebar senyum. Namun senyumannya hilang saat matanya bertembung dengan renungan tajam seorang lelaki yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Lelaki itu baru saja keluar dari bilik air. Tercegat dengan sorotan bagaikan helang lapar melihat gelagatnya bersama Orlando.

Wajah serius lelaki itu membuat Nadine serba salah sendiri.

“Minta maaf. Tadi sa..”

“Awak ni siapa?”soal lelaki itu. Lagak seorang detektif pula. Tidak memberi peluang pada Nadine untuk menjelaskan perkara sebenar.

Bulat mata Nadine memandang lelaki itu.

“Saya tanya, awak ni siapa?”ulang lelaki itu, lebih tegas daripada sebelumnya.

“Saya Nadine.

“Nadine ya? Okay, awak buat apa dekat sini?”

“Saya ambil ni,”balas Nadine sambil mengangkat tubuh Orlando. Namun Orlando memang sangat nakal hari ini. Orlando sudah meronta kuat lalu melompat ke arah lelaki yang tidak dikenali itu.

“Apa awak buat ni?!”jerit lelaki itu lagi bila tidak sempat mengelak. Orlando sudah melekat kukuh pada dada lelaki tersebut. Sepuluh kuku tangan Orlando yang tajam bagaikan belati itu sudah pun berpaut kemas. Mesti sakit!

Nadine melopong. Sempat dia melirik ke arah Orlando yang berwajah bengis. Orlando ni tunjuk perasaan bagi pihak Nadine ke?

“Maaf. Lando tak sengaja. Jangan pukul Lando,”luah Nadine. Dalam hati dia sudah ketawa berdekah-dekah. Nasib baik Orlando kuicng. Kalau tidak, mahu juga Nadine berhigh five dengan Orlando.

Good job Orlando. Good job! Nanti Nadine belanja Whiskas!

Lelaki itu menyeringai kesakitan. Tanpa sebarang perlakuan ganas, tubuh gempal Orlando diangkat lalu diletakkan di atas lantai.

“Awak takkan pukul Lando, kan?”tanya Nadine kemudian. Manalah tahu lelaki itu nak pukul Orlando. Memang Nadine akan jadi pembangkang nombor satu!

“Kucing itukan binatang kesukaan nabi. Kita pun mesti sayang dan tak berlaku kejam dengan binatang yang disukai nabi kita. Takkan itupun awak tak tahu.”

Amboi.. Encik yang tidak dikenali ini sedang menyindir nampaknya.

“Awak tinggal sini?”aju lelaki itu tiba-tiba.

Menggeleng.

“Jadi siapa benarkan awak masuk rumah ni?”

Melopong sekali lagi.

“Saya minta maaf sekali lagi. Nanti saya bawa dettol cuci luka awak tu.”

Terdengar lelaki itu mengeluh.

“Awak sudah menceroboh. Saya boleh buat laporan polis.”

Rahang Nadine hampir jatuh. Po.. Polis? Apa ni?

“Takkanlah sampai macam itu sekali. Saya bukan curi barang pun. Saya cuma nak ambil kucing saya. Takkan itu pun salah.”

“Memang tak salah. Tapi cara awak salah. Awak sepatutnya minta kebenaran daripada tuan rumah dulu. Bukan main masuk saja.”

“Saya dah minta maaf dua kali,”tegas Nadine tidak mahu kalah.

“Ada saya maafkan? Lagi satu, awak itu seorang perempuan. Kenapa aurat pun awak tak jaga? Ini semua dosa. Ini semua akan dibalas dengan azab yang teruk di akhirat nanti.”

Nadine meneguk liurnya. Darah sudah menyirap ke muka dengan kelajuan seperti kilat.

Wah! Ini sudah lebih. Ayah dan ibunya pun tidak marah-marah kalau dia tidak bertudung. Tapi lelaki asing ini pula yang sibuk-sibuk masuk campur dalam urusan peribadinya.

“Dekat saja. Jadi tak payah pakai tudung pun tak apa.”

“Siapa cakap tak apa? Ajaran mana awak ikut ni? Saya ini bukan muhrim awak. Sepatutnya sebelum awak keluar rumah tadi awak sudah mengenakan tudung.”

Masya-Allah! Kenapa dengan lelaki ini? Apa masalah dia? Dia fikir dia bagus sangat ke sampai nak tempelak Nadine macam ni? Banyak cantik muka dia!

“Awak ingat rambut awak tu cantik sangat ke sampai awak nak tunjuk dekat saya?”sambung lelaki itu.

“Hah!”jerit Nadine. Bibirnya diketap kuat-kuat.

“Memang rambut saya cantik. Kalau saya nak tunjuk dekat semua penghuni dunia pun awak kisah apa?”

“Rambut ibu saya sejuta kali lebih cantik. Rambut ibu saya terpeliharan daripada penglihatan mata-mata rakus yang berniat jahat. Rambut awak pula, awak fikirlah sendiri dimana letak duduknya rambut yang awak agung-agungkan sangat tu.”

Usai berkata-kata lelaki itu melangkah pergi meninggalkannya ke tingkat atas. Lama Nadine terpaku di depan pintu bilik air Mak Jah sehinggalah bahunya di sentuh dari belakang. Senyuman Mak Jah menyambutnya.

Lekas-lekas Nadine menyeka hujung matanya. Jujur, hatinya terluka dengan sindiran lelaki itu. Terluka dan terkesima, itu yang dirasakannya kini.

“Kenapa ni, Nadine? Mak Jah pergi kedai depan sana tadi. Nadine tunggu Mak Jah lama ke?”

“Tak ada apalah, Mak Jah. Mata Nadine masuk habuk tadi. Nadine balik dulu ya.”

“Duduklah dulu makan roti canai. Mak Jah pun nak kenalkan anak saudara Mak Jah dengan Nadine.”

“Lain kali ya, Mak Jah. Sekejap lagi Nadine nak keluar dengan ibu,”bohong Nadine lantas terus melangkah keluar.

MALAMNYA Mak Jah bertandang ke rumah sambil membawa lelaki cakap lepas tersebut. Sumpah, dia langsung tidak turun menyapa Mak Jah seperti kebiasaannya. Nadine bilang pada ibunya dia sakit perut. Sesungguhnya dia tidak ingin bertamu mata dengan lelaki itu lagi. Cukuplah sekali dia disindir.

Adik bongsunya, Miera bukan main lagi memuji anak saudara Mak Jah. Miera yang mengorek segala macam maklumat tentang anak saudara Mak Jah itu.

“Kacaknya anak saudara Mak Jah tu, kak. Miera rasa, Nicholas Saputra pun kalah.”

“Nicholas Saputra hero kesayangan Miera pun boleh kalah?”tanya Nadine semula.
 Otaknya ligat bekerja keras mengingati raut wajah lelaki cakap lepas tersebut.

“Betul kak! Masa dia pandang Miera tadi, Miera rasa jantung Miera macam hendak gugur. Nafas Miera bagaikan terhenti. Kakak memang rugi besar tak turun jumpa anak saudara Mak Jah tadi.”

“Rugi?”

Nadine ketawa kecil. Rugilah sangat!

“Mestilah. Miera jamin kakak pun boleh jatuh cinta bila lihat muka dia tadi. Miera ingat nak pikat dia, tapi dia langsung tak pandang Miera. Mungkin sebab dia tahu Miera belajar lagi kot.”

Nadine sudah mengerutkan dahi. Isi perutnya bagaikan mahu tersembur keluar mendengar kata-kata Miera.

Bestnya kalau umur Miera macam kakak. Miera boleh pikat abang Abu Hanifah tu.”

“Abu Hanifah? Siapa tu?” tanya Nadine. Keningnya sudah terangkat sedikit.
“Nama anak saudara Mak Jah tu Abu Hanifah. Itulah kakak, menyorok sangat dalam bilik ni. Sampai nama anak saudara Mak Jah yang kacak itu pun kakak tak tahu.”

Tidak semena-mena Nadine ketawa besar. Lucu benar pada pendengaran telinganya. Muka nampak garang, tapi nama macam perempuan. Macam orang tua pun ada.

“Kakak gelak-gelak ni kenapa? Miera suka dengan nama Abu Hanifah tu. Kakak jangan pandang rendah dengan dia, dia itu lulusan universiti Al-Azhar, Kaherah. Kakak jangan macam-macam. Sekali dia khutbah kakak, padan dengan muka kakak.”

Nadine peduli apa kalau dia lulusan Universiti Al-Azhar. Nadine pun lulusan universiti juga. Universiti Putra Malaysia. Bezanya Nadine menuntut di dalam negeri dan dia diluar negara. Itu saja.

“Kakak dengar tak ni?”desak Miera dengan penuh semangat. Nampaknya cerita tentang Abu Hanifah telah membakar semangat Miera yang berkobar-kobar.

“Betul ke ni Miera suka dengan nama Abu Hanifah?”tanya Nadine, sekadar berbasa-basi.

“Betul! Dulu memang Miera tak suka dengan nama-nama yang macam orang tua ni. Tapi sekarang lain. Abang Abu sudah buka mata Miera.”

“Abang Abu?”ulang Nadine lantas kembali menyambung tawanya semula.
Miera sedang buat lawak antarabangsa!

“Kakak ni pun!”bentak Miera lantas membaling bantal ke arah Nadine yang masih ketawa lucu. Dengan wajah masam Miera sudah meninggalkan kakaknya.

“Miera doa kakak dapat jodoh dengan lelaki yang nama macam orang tua. Tak pun kalau susah-susah sangat Miera doakan jodoh kakak dengan abang Abu!”

“Miera!”bantah Nadine. Tapi Miera sudah menutup pintu.

Sangka Nadine segalanya berakhir di situ. Tetapi dia silap. Kepulangannya ke rumah pada suatu petang selepas habis bekerja benar-benar mengejutkan. Rumahnya dipenuhi dengan deretan kereta yang bernombor pendaftaran negeri Perak.

Lebih mengejutkan Mak Jah yang datang bertandang bersama dengan kakaknya. Katanya membawa hajat besar. Belum sempat dia meminta diri, ibunya sudah menyuruhnya duduk.

Bagai hendak pengsan bila diberitahu si Abu Hanifah itu melamarnya. Ya Allah! Dia sedang bermimpi, kan?

Dan selepas itu, meski sejuta kali dia menolak, dua juta kali keluarganya memujuk supaya menerima lamaran keluarga Abu Hanifah. Hingga pada akhirnya dia terpaksa menerima. Dia terpaksa berkata ya setelah ibunya jatuh pengsan saat memujuknya menerima lamaran Abu Hanifah.

Nadine mengeluh kuat. Kenangan tiga bulan lalu perlahan-lahan menghindar. Kata-kata Miera juga terngiang-ngiang. Entah-entah doa Miera dimakbulkan tak?

Jantung Nadine hampir luruh bergolek-golek bila pintu bilik dibuka dari luar. Muncul Abu Hanifah di situ. Masih lagi lengkap berbaju melayu warna putih gading. Lelaki itu tanpa banyak bicara mengambil tempat di sisinya.
Lekas-lekas Nadine bingkas berdiri.

“Awak buat apa ni?”tanya Nadine bila Abu Hanifah dengan selambanya mengambil tempat di sebelahnya.

“Untuk awak,”balas Abu Hanifah. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum hangat.

Hati Nadine sempat cair melihat senyuman si Abu itu. Namun dikentalkan semangatnya.

Duhai hati, kamu sudah lupa ya segala kutukan si Abu itu? Kamu lupa dia telah menyindir dengan kata-kata dahsyat hanya sebab Nadine tidak tutup aurat?
Kalau sudah ingat, bagus! Kawal sikit perasaan, jangan cepat sangat jatuh suka pada si Abu ni. Bahaya! Misi kita sekarang buat Abu Hanifah bosan dan akhirnya melafazkan kata cerai. Ingat tu!

“Apa ni?”

“Bukalah. Hadiah kahwin kita. Hadiah pertama saya untuk Nadine.”

Sedikit teragak-agak Nadine menyambut huluran hadiah Abu Hanifah. Renungannya silih berganti antara Abu Hanifah dan kotak sederhana besar tersebut. Namun jauh direlung hati, sebenarnya dia sangat takut andai Abu Hanifah menuntut tanggungjawabnya sebagai isteri. Sumpah, dia pasti lari dari rumah kalau Abu Hanifah sampai memaksanya.

“Bukalah.”

“Nantilah.”

“Bukalah sekarang.”

Nadine mengeluh keras. Namun jari tangannya sudah bergerak membuka balutan hadiah berwarna merah hati itu. Ada kad kecil yang tertulis, untuk isteriku yang tersayang.

Hanya dengan membaca bait-bait kata tersebut sudah membuat Nadine hampir termuntah lembik. Geli-geleman dengan ayat-ayat sebegitu.

“Kain sembahyang?”aju Nadine setengah tidak percaya. Berkerut-kerut dahinya.
Apa pula motif si Abu ni?

“Kita solat sama-sama. Pergilah ambil wuduk. Abang tunggu.”

Sekujur tubuh Nadine mengeras bila Abu Hanifah mula membahasakan dirinya sebagai ‘abang’. Dia tidak rela!

“Jangan guna perkataan abang, boleh tak?”

“Kenapa?”

“Saya tak selesa.”

“Baiklah. Saya tak guna kata ganti diri abang.”

Nadine sudah membesarkan sepasang matanya. Sulit untuk percaya Abu Hanifah menerima cadangannya tanpa banyak soal.

Alah.. Penyabar sangat si Abu ni. Nampaknya susahlah hendak buat dia marah.

“Pergilah cepat ambil wudhuk. Tak elok kalau kita lengah-lengahkan solat.”

Itu dia, khutbah pertama Abu Hanifah setelah bergelar suaminya. Dan dia perlu menelan bulat-bulat segala khutbah Abu Hanifah dengan tenangnya.

“NADINE, bangun. Sudah subuh. Kita solat jemaah sama-sama." 

Lembutnya suara Abu Hanifah menyentuh pendengarannya. Namun entah kenapa matanya sulit untuk dibuka. Matanya hanya berjaya lelap seawal jam empat pagi. Selebihnya dia menjadi pak jaga. Hatinya bimbang bukan main andai Abu Hanifah menuntut tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Mujurlah lelaki itu tidak memaksanya langsung. Kata-kata Abu Hanifah malam tadi sesungguhnya sedikit menyentuh relung hati.

Sedikit saja? Biar betul si Nadine ini. Berdosa tahu kamu mengabaikan suami kamu.
Nadine tak abaikan dia. Si Abu sendiri yang setuju. Si Abu tu kata dia faham kalau Nadine tak rela dengan perkahwinan ini. Jadi dia bilang dia akan sabar menunggu.
Mulianya hati suami kamu, Nadine. Kamu bertuah!

Bertuah? Bukan malang ke? Selepas ini hari-hari Nadine akan dengar khutbah Encik Abu Hanifah ini.

Wahai Nadine, jangan jual mahal sangat. Nanti kamu sendiri yang menyesal bila Abu Hanifah dipikat perempuan lain.

Biarlah. Nadine lagi suka. Cepat sikit si Abu ni lepaskan Nadine.

Astagafirullahulazim.... Kejamnya kamu Nadine.

“Awak solatlah dulu. Nanti sayafollow dari belakang,”balas Nadine dengan malasnya.

“Nadine!”

Suara lembut Abu Hanifah sudah berubah garau dan tegas. Serta-merta Nadine membuka mata. Dia terpisat-pisat mencari-cari kelibat Abu Hanifah.
Wah! Garangnya muka Abu Hanifah waktu ini. Sangat menakutkan hingga Nadine membisu seribu bahasa.

“Nadine tahu apa hukumannya bila melengah-lengahkan solat?”soal Abu Hanifah. Wajahnya sangat serius.

“Tak tahu.”

Abu Hanifah sudah memicit dahinya. Kemudian menghela nafas panjang.
“Nadine, ada satu kisah beberapa tahun dahulu berlaku di Mekah. Kisah benar. Saya harap Nadine jadikan iktibar.”

Nadine meneguk liur.

Kuliah subuh Encik Abu Hanifah akan bermula sebentar lagi. Nadine, sila tumpukan perhatian anda.

“Dahulu ada seorang perempuan berumur 40an meninggal dunia. Maka mayat perempuan itupun di usung ke tanah perkuburan. Apabila sampai saja di tanah perkuburan, sudah siap menunggu seekor ular berwarna hitam sebesar paha dan bersisik tebal di dalam liang lahad. Keadaan ular itu sangat menggerunkan. Semua jemaah pun terperanjat. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk ke tanah perkuburan yang lain.”

Nadine meneguk liurnya. Abu Hanifah ini sedang cuba menakutkannya kah? Tapi tidak mungkin. Abu Hanifah ini tinggi ilmu agamanya. Takkanlah dia tergamak berbohong.

“Mereka yang bawa mayat perempuan itu pun segera beredar menuju ke tanah perkuburan Sara’ya. Jaraknya lebih kurang setengah jam dari tanah perkuburan yang pertama. Malangnya di sana juga sudah menanti ular yang sama. Melingkar memenuhi liang lahad. Seolah-olah sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya,” lanjut Abu Hanifah. Sempat dia mengerling isterinya yang khusyuk mendengarkan ceritanya.

“Lepas tu apa mereka buat? Bunuh ular tu?”tanya Nadine, seperti seorang anak kecil pula.

“Mereka tak bunuh, sebaliknya mereka alihkan ular itu ke kawasan lain jauh sedikit dari kawasan perkuburan. Peliknya, ular itu sedikit pun tidak membelit atau mematuk jemaah yang mengiringi mayat perempuan tersebut ketika dialihkan.”
Nadine sudah berwajah pucat. Sumpah, dia memang gerun melihat ular besar seperti yang diceritakan oleh Abu Hanifah sekarang.

“Sebaik saja mayat selamat dimasukkan ke dalam liang lahat, tiba-tiba ular besar yang menggerunkan itu menjalar dengan pantas dan meluru masuk ke dalam liang tersebut. Menjunam jatuh mengenai mayat perempuan malang itu. Tidak sampai beberapa saat, jemaah yang hadir terdengar bunyi seperti dahan-dahan pokok di patahkan. Bila mereka menjenguk ke dalam liang lahat, semuanya terkejut. Ular besar itu sedang membelit mayat perempuan itu serta mematahkan tulangnya. Subhanallah! Beberapa jemaah jatuh pengsan melihat kejadian tersebut.”

“Kenapa jadi macam tu? Apa salah perempuan tu?”

“Semuanya disebabkan solat, Nadine. Setelah disiasat, didapati perempuan itu selalu melengah-lengahkan solat sewaktu hayatnya macam apa yang Nadine buat sekarang. Memang melengahkan solat dimaafkan, tapi perlu ada sebab yang munasabah. Kalau sebab malas dan mengantuk, rasanya itu bukan alasan yang munasabah.”

Bagaikan sebiji batu besar tepat mengenai bahu Nadine. Dia kalah. Dia banyak dosa. Selama ini dia terlalu mengambil ringan tentang solat.

Nadine menyapu pelupuk matanya. Hatinya mulai gentar. Perasaannya jadi takut memikirkan nasib perempuan malang tersebut. Adakah dia calon seterusnya untuk menerima azab yang sama? Tidak!

“Saya tak nak Nadine jadi begitu. Nadine tanggungjawab saya sekarang. Abang harap lepas ni Nadine jaga waktu solat Nadine. Kita ambil pedoman dari kisah tadi. Itu baru seksaan di dunia akibat melewatkan solat. Kalau tinggalkan solat? Nauzubillah!”

Abu Hanifah meninggalkan dirinya dengan sebuah pertanyaan. Sebuah pertanyaan yang membuat dia kaku. Cemas sendiri. Resah gelisah mengenangkan selama ini dia mengabaikan waktu solatnya. Malah ada ketika dia meninggalkan kewajipannya itu.

“Saya bukan marah. Saya cuma nak didik Nadine. Kalau Nadine tak suka..”

“Nadine suka. Insya-Allah, Nadine takkan lengah-lengahkan solat lagi,”pintas Nadine. Dia sudah bingkas berdiri menuju ke kamar mandi. Enggan berlama-lama di situ. Bimbang Abu Hanifah melihat air matanya yang melaju membasahi pipinya.

Abu Hanifah menglum senyum lebar. Hatinya memanjat syukur bila Nadine tidak membantah kata-katanya. Benarlah kata Mak Jah. Kelakuan Nadine memang nampak kasar, tapi jiwanya lembut.




JANGGAL rasanya bila tiba-tiba hidup berdua. Nadine malu dengan Abu Hanifah. Rasa malu yang sangat tebal. Lebih-lebih lagi sekarang Abu Hanifah sudah tahu dia suka melengah-lengahkan solat.

“Nadine kerja hari ini?”

Seperti biasa suara itu lembut menyapa. Seperti biasa juga Nadine tetap mahu menjaga egonya yang setinggi langit itu. Lagipun Nadine dilanda rasa pelik. Kenapa Abu Hanifah yang dulu tak sama dengan Abu Hanifah sekarang? Mana perginya Abu Hanifah yang suka menyindir itu ya? Pelik, kan?

“Nadine?”

“Ya? Apa dia?”

“Nadine kerja ke hari ni?”

“Hari ni? Oh.. Hari ni Nadine kerja.”

Semalam menikah dan hari ini Nadine ke tempat kerja. Cuti bulan madu? Langsung tiada. Memang dia sendiri yang meminta pada Abu Hanifah supaya tiada bulan madu. Dia segan dan cukup takut di tinggal berdua dengan Abu Hanifah.

“Nadine,”panggil Abu Hanifah sekali lagi.

“Apa lagi?”tanya Nadine. Namun saat dia berpaling, Abu Hanifah sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Kerana terlalu terkejut dia melakukan aksi lompat kijang.

Gelagatnya membuat Abu Hanifah ketawa lucu.

“Nadine ni suka buat abang ketawa la.”

Abang lagi. Dia tidak suka bila Abu Hanifah menggunakan kata ganti abang. Macam mesra betul padahal mereka berdua langsung tidak mesra. Rasa cinta dalam hatinya tidak pernah wujud. Yang ada hanyalah rasa geram kerana ditempelak setelah memasuki rumah Mak Jah. Padahal dia hanya mahu mengambil si Orlando.

“Maaf, sepatutnya saya. Bukan abang,”tambah Abu Hanifah. Masih juga kelihatan tenang. Masih juga sabar melayani kerenah Nadine yang aneh-aneh.

Jujur, hatinya terbersit indah dengan sikap Abu Hanifah. Penyabar, tenang, dan punya senyuman yang manis. Patutlah Suraya bilang hatinya cair bila suaminya itu tersenyum. Patutlah Miera bilang Nicholas Saputra pun kalah dengan Abu Hanifah.
Sebenarnya bila diamati dengan mendalam, Abu Hanifah agak kacak juga.

Pembetulan ya Puan Nadine. Bukan agak, tapi memang Abu Hanifah kacak!
“Nadine,”panggil Abu Hanifah terus.

Aduh.. Kalau berterusan dipanggil dengan lembut begini, hatinya pun boleh cair seperti Suraya dan Miera. Susahlah kalau begini!

“Ya, Abu Hanifah. Ada apa-apa saya boleh tolong?”

“Begini Nadine yang rupawan, saya ada hadiah lagi untuk kamu. Hadiah kedua daripada saya.”

Nadine meneguk liurnya. Makin lama hatinya makin luluh. Makin lama hatinya makin dibuai satu perasaan indah.

Abu Hanifah menyebut ‘rupawan’. Hatinya sangat bangga. Kembang kembis hidungnya menerima pujian Abu Hanifah. Kalau Abu Hanifah tidak ikhlas pun dia tidak kisah. Yang penting Abu Hanifah sudah pun menyebut keluar perkataan rupawan.

“Apa pula kali ni?”

“Nadine bukalah. Saya harap Nadine suka.”

Sebaik saja dia selesai membuka hadiah tersebut, dia terkesima. Lidahnya kelu. Dia sudah pun menggigit bibirnya kuat-kuat.

Abu Hanifah ini pun! Dia beri tudung? Tudung?

“Nadine hendak buat apa dengan tudung ni?”

“Tutup aurat, Nadine. Saya tak sanggup rambut Nadine yang cantik dan hitam jadi tatapan mata-mata liar lelaki diluar sana. Saya nak rambut Nadine selalu terpelihara. Selalu suci dan berada pada darjahnya yang tersendiri.”

Macam mana ni? Wajah Abu Hanifah sudah berharap benar dia mengenakan tudung tersebut. Kalau dia ingkar, dosa namanya.

Tahu pun dosa. Jadi puan Nadine yang bijaksana, pakailah tudung tu.

Nadine mengeluh berat. Tudung yang berada di tangannya sudah diambil lalu dia menghayun langkah gontai menuju ke cermin soleknya.

JAUH sekali Nadine melamun hari ini. Seharian dia dipejabat melayan perasaan. Mana tidaknya, berita dia memakai tudung jadi berita terhangat dipejabatnya hari ini. Ada pekerja dari tingkat bawah sengaja naik ke tingkat tiga semata-mata mahu melihat perubahan dirinya. Geram betul!

“Macam tak pernah tengok perempuan bertudung,”gerutu Nadine seorang diri.

“My gosh! The rumour is true. Kau mimpi apa semalam? Aku tahulah suami kau pensyarah di UIA. Takkan baru semalam terus kau bertudung litup macam ni?” tanya Fareed sambil ketawa dengan galaknya.

Ini lagi seorang. Hendak kena ketuk dengan kasut juga. Macamlah buah hatinya tidak bertudung.

“Alhamdulillah, termakbul juga doa aku selama ni nak lihat kau bertudung litup macam ni.”

Entah kenapa hatinya jadi hangat membahang tiba-tiba bila diusik begitu. Dia mula menyalahkan Abu Hanifah. Kalau Abu Hanifah tidak memaksanya memakai tudung, keadaan tidak seteruk ini.

“Fareed, kasut aku ni memang sudah lama tak hinggap atas kepala orang. Kau nak cadi calon kena baling kasut dengan aku ke?”

Fareed terkekeh mendengar ugutan luar biasa Nadine. Nampaknya angin Nadine tidak berapa baik hari ini. Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik dia angkat kaki.
Nadine mengatur semula nafasnya. Ingatannya mulai singgah pada Abu Hanifah. Memang semua ini salah Abu Hanifah! Lebih menyakitkan hati, lelaki itu langsung tidak menelefon atau menghantar mesej.

Terukkan perangai Abu Hanifah tu? Sekurang-kurangnya hantarlah mesej bertanya khabar kalau malas sangat hendak menelefon. Ini tidak, satu mesej pun tak ada! Kalau dia tahu begini, sumpah dia tidak akan setuju menerima lamaran Abu Hanifah.

Penyayang dan mengambil berat konon. Padahal Abu Hanifah itu langsung tidak pedulikan Nadine.

Tidak dapat menahan perasaan, akhirnya Nadine mencapai telefon bimbitnya dan mula menaip.

‘Salam.’

Mesejnya selamat dihantar dan sekarang dia menunggu balasan daripada si Abu Hanifah itu. Seminit berlalu namun telefon bimbitnya masih tidak berbunyi. Dua minit berlalu hatinya mulai panas. Tiga minit berlalu dia sudah mundar mandir. Lima minit dia terus keluar dari bilik pejabatnya. Kemudian tawaf satu ruang pejabat sebelum kembali semula ke dalam bilik pejabatnya.

Entah kenapa hatinya berdebar tidak menentu. Entah Abu Hanifah sudah membalas mesejnya atau tidak. Pasti sudah! Lagipun dia sudah meninggalkan bilik pejabatnya lebih daripada 30 minit.

“Kosong! Dia tak balas? Melampau betul!”ujar Nadine separuh menjerit.
Percayalah, bagaikan ada api yang keluar dari hidungnya saat dia menghela nafas. Mukanya merah padam. Sekujur tubuhnya sudah menggigil menahan rasa marah yang berbuku di hati.

“Kenapa dengan Abu ni? Apa masalah dia? Susah sangat ke hendak balas satu mesej?

Nadine sudah menjatuhkan tubuhnya. Matanya sempat melirik jam tangan. Sungguh dia terkejut melihat jam sudah pun menunjukkan hampir pukul dua petang.

“Masya-Allah, aku lewat lagi untuk solat!”tingkahnya lantas lekas-lekas keluar semula dari bilik pejabatnya. Langkah diatur cukup deras menuju ke bilik sembahyang yang disediakan.

Bagus Nadine ni. Sekali diberi kuliah subuh, terus dia amalkan. Macam inilah baru Abu Hanifah tambah sayang!




NAFASNYA bagaikan terhenti melihat Abu Hanifah turun dari sebuah MPV. Lebih mengejutkan pemandu MPV itu adalah seorang perempuan. Bukan main lagi Abu Hanifah berbual mesra dengan perempuan tersebut.

Senyuman Abu Hanifah berseri-seri bagaikan bulan mengambang. Seingatnya, Abu Hanifah pun tidak pernah tersenyum sebegitu ketika berbual dengannya. Sampai hati Abu Hanifah.

Sudahlah mesejnya tidak dibalas. Pulang ke rumah dia disajikan pula dengan adengan mesra Abu Hanifah di hantar pulang oleh seorang perempuan. Hati isteri mana yang tidak sakit?

Sedar pun diri kamu itu isteri Abu Hanifah. Lain kali jangan jual mahal sangat. Kalau sudah jadi begini hendak salahkan siapa lagi? Berjuanglah untuk dapatkan semula suami kamu.

Bawa bertenang Nadine. Tanya suami kamu elok-elok. Jangan naik angin pula.

“Kenapa tak reply mesej saya? Susah sangat ke nak balas mesej saya tu?”aju Nadine bertalu-talu sebaik saja Abu Hanifah selamat menutup pintu bilik.

Abu Hanifah tidak membalas. Sebaliknya lelaki itu menjatuhkan tubuhnya di atas sofa lantas memejamkan matanya. Tubuhnya terlalu lemah hari ini.

“Penatnya saya hari ni, Nadine,”keluh Abu Hanifah.

“Saya peduli apa awak penat pun. Entah-entah awak penat melayan perempuan. Sebab itu nak balas mesej saya pun susah.”

“Macam ini pun boleh?”

“Boleh! Sebab awak sedang buat sekarang ni.”

“Jadi saya sibuk melayan perempuan lain la tadi ni?”

“Memang.”

“Nadine cemburu ya?”

“Siapa cemburu?”

“Saya suka bila Nadine cemburu.”

“Saya tak cemburu. Awak nak keluar dengan perempuan mana pun saya tak kisah. Dengan syarat awak ceraikan saya. Senang, kan?”

Abu Hanifah menghela nafas berat. Sekali-sekala dia memicit-micit dahinya.
“Kenapa diam? Bukan susah pun nak lafazkan perkataan cerai.”

“Nadine..”panggil Abu Hanifah lemah.

Nadine memalingkan wajahnya. Dia tahu kata-katanya sangat kurang ajar hari ini. Tapi Abu Hanifah sendiri yang mencari pasal.

“Pandang saya, Nadine,”pinta Abu Hanifah lembut. Mendatar saja suaranya.

“Saya benci awak, Abu Hanifah. Kita berdua tak sepatutnya jadi suami isteri. Awak hanya susahkan hidup saya!”

“Nadine,”panggil Abu Hanifah tanpa rasa jemu. Besar harapannya Nadine berpaling menatapnya. Namun harapannya sia-sia.

“Jangan panggil nama saya lagi. Saya tak suka!”

“Tolong bawa saya ke klinik, Nadine. Saya tak larat sangat.”

Barulah Nadine berpaling. Menatap Abu Hanifah tajam.

“Suruhlah perempuan yang hantar awak balik tadi hantar. Dia lebih sesuai hantar awak ke klinik daripada saya,”ujar Nadine dengan beraninya lantas terus keluar dari kamar tidur. Pintu bilik sengaja dihempaskan. Miera yang melalui kawasan tersebut ikut terkejut.

“Kakak kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Kakak nak makan.”

Miera tercengang. Hairan dengan sikap kakaknya. Jangan-jangan kakak gaduh dengan abang Abu tak?

Pandai pun Miera ni. Apa lagi, pergilah pujuk kakak kamu itu. Merajuk tidak tentu pasal. Jangan tidak tahu, sekarang Nadine sudah pandai cemburu buta.

“Abu Hanifah pergi mana?”ibunya yang tercinta memulakan kata.

“Entah. Nadine tak tahu. Biarlah dia ibu. Asalkan dia bahagia. Nadine pun tak harap perkahwinan kami ni berkekalan lama.”

“Masya-Allah Nadine! Kenapa cakap macam tu? Kalau Abu Hanifah dengar macam mana?”

Kali ini suara ibunya sudah meninggi.

“Nadine tak suka dia ibu. Nadine sedang paksa diri Nadine terima dia.”

“Kamu memang tak pandai hendak bersyukur. Kalau kamu hendak tahu, ibu yang beriya-iya hendak jodohkan kamu dengan Abu Hanifah. Hati ibu ni sejuk sangat kali pertama ibu jumpa dia. Ibu pujuk Mak Jah. Ibu gembira sangat bila Abu Hanifah setuju. Kamu pula buat macam ni. Kamu nak ibu mati ke, Nadine?”

“Kenapa ibu buat macam tu? Ibu buat Nadine malu. Patutlah Nadine rasa macam Nadine yang terhegeh-hegeh. Tapi Abu Hanifah sikit pun tak suka Nadine. Nadine ni macam pungguk yang merindukan bulan yang jauh, ibu!”

“Ibu tak pernah ajar Nadine kurang ajar macam ini. Bila Abu Hanifah balik nanti, ibu nak Nadine minta maaf.”

Nadine memejamkan matanya. Semua orang menyebelahi Abu Hanifah itu. Apa-apa sekalipun Abu Hanifah betul dan dia yang salah.

Memang kamu yang salah, Nadine. Kamu yang tak hormat suami kamu!

“Siapa pula yang datang malam-malam macam ni?”cetus ayah yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati pada perbahasan hebat antara ibu dan anak.

“Biar Nadine pergi lihat,”ujar Nadine. Telinganya juga sakit mendengar bunyi loceng bertalu-talu menyapa telinga.

“Perempuan tadi. Apa lagi dia nak?”tanya Nadine sendiri. Namun dia tetap menghampiri pagar rumahnya.

“Cari siapa?”

“Han, ada?”tanya perempuan itu semula. Enggan menjawab pertanyaanya.

Han? Dia panggil Abu Hanifah dengan panggilan Han? Ooo.. Kalau dia yang hendak memanggil Abu Hanifah tidak boleh. Tapi kalau perempuan ini boleh pula. Memang pilih kasih betul Abu Hanifah itu.

“Abu keluar. Kenapa cari dia?”

“Awak ni isteri Han?”

“Memang saya isteri dia. Kenapa awak cari suami saya?”

“Baguslah kalau macam tu. Tolong serahkan telefon bimbit ni pada dia. Dia tertinggal di surau. Kawan saya yang serahkan telefon ni pada saya tadi. Saya lupa nak beri pada Han.”

Bukan main berbelit-belit lagi cerita perempuan tersebut. Sulit untuk dipercayai.
Telefon sudah beralih tangan. Sengaja dia menekan butang on untuk memerika telefon bimbit Abu Hanifah.

“Jangan risau, saya tak baca mesej dalam telefon bimbit ni.”

Seakan mengerti apa yang bergolak di hati, perempuan tersebut memberi penjelasan.

“By the way Nadine, Han nampak macam tak sihat hari ni. Tadi dia terkena hujan sewaktu menjadi pengadil bola sepak. Dia tak larat sangat nak drive. Itu yang saya bawa dia balik tadi. Saya nak hantar dia ke klinik terus, tapi dia tak mahu. Dia mahu puan Nadine juga yang hantar. Sayang sangat Han pada puan. Saya pun cemburu.”

“Dia tak sayang saya pun. Dia sayang awak,"keluh Nadine tiba-tiba. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia berkata begitu.
“Sayang saya? Nadine silap ni. Dia sayangkan puan. Sayang sangat sampai dia tolak cinta saya. Saya mengalah, sebab saya memang jauh kalah kalau hendak dibandingkan dengan puan.”
Nadine sudah gelap mata mendengar kata-kata perempuan tersebut. Langkahnya gontai saja menuju ke pintu rumah setelah perempuan tersebut meminta diri. Sebaik saja dia tiba di depan pintu, terdengar pagar automatik rumahnya dibuka.

“Abu Hanifah dah balik,”bisik penuh harapan. Dia cuma ingin meminta maaf dengan segala kata-katanya hari ini. Memang dia yang salah. Dia yang sengaja mencari pasal dan menuduh Abu Hanifah yang bukan-bukan.

Kereta ayah yang dipandu Abu Hanifah selamat berada di perkarangan murah. Abu Hanifah keluar dari perut kereta dengan sekujur tubuh yang lemah.Melihat langkah Abu Hanifah terhuyung-hayang, lekas-lekas Nadine menerpa untuk membantu.

Rahang Nadine hampir jatuh bila Abu Hanifah memberi isyarat menyuruhnya berhenti melangkah. Tanpa sepatah kata, Abu Hanifah melangkah pergi tanpa berkata apa.

Nadine terpana dan terpaku. Tidak menduga dia menerima layanan sebegini. Tapi memang padan dengan mukanya. Setelah apa yang dia lakukan, bila-bila masa saja Abu Hanifah boleh menceraikannya.

Memikirkan perkara tersebut hatinya sudah gundah gulana. Hampir menitis air matanya mengenangkan segala kata-katanya tadi.

Tidak tahulah hendak kata apa lagi. Pandai-pandailah kamu pujuk Abu Hanifah itu. Rajuk seorang lelaki selalunya panjang dan boleh meleret-leret sehingga beberapa hari.

“Saya minta maaf. Awak sakit dan tak larat hendak drive, tapi saya tetap suruh awak pergi ke kelinik sendiri.”

Terdengar Abu Hanifah merenggus. Lalu tanpa sepatah kata lelaki itu memasuki rumah. Kepalanya sakit bukan main. Dia hanya ingin berbaring dan tidur setelah makan ubat nanti. Perkara lain dia malas hendak fikir.

Abu Hanifah sudah tertidur pulas. Nyenyaknya dia tidur dek penangan ubat yang ditelannya lima belas minit tadi.

Perlahan-lahan Nadine menghampiri Abu Hanifah. Jari tangannya sudah singgah menyentuh dahi lelaki itu. Panas. Sangat panas!

Tidak semena-mena hatinya sebak. Saat suaminya sakit dia menjauhkan diri. Saat suaminya lemah tidak bermaya, dia mengabaikan tanggungjawabnya. Isteri apakah dirinya ini?

Jari tangannya sudah menyeka pelupuk matanya sebelum duduk di sisi Abu Hanifah. Namun hanya seketika bila dia kembali bingkas lalu terus keluar dari bilik.

Lima minit kemudian dia kembali semua dengan besen dan tuala kecil yang sudah dibasahkan. Belum sempat kakinya melangkah lebih jauh, sepasang matanya menangkap sekuntum mawar merah beserta sampul merah jambu terletak cantik di meja soleknya.

“Untuk seorang perempuan yang mengajarku erti cinta yang ikhlas”
Doa cinta seorang lelaki.. Hadiah ketiga buat isteriku yang tercinta.

Ya Allah,
Andai Kau berkenan, limpahkanlah rasa cinta kepada kami
Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al Qubro
Yang Kau jadikan mata air kasih sayang
Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az Zahra
Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci

Andai semua itu tak layak bagi kami
Maka cukupkanlah permohonan kami dengan redha-Mu

Jadikanlah kami suami isteri yang saling mencintai di kala dekat
Saling menjaga kehormatan di kala jauh
Saling menghibur di kala duka
Saling mengingatkan di kala bahagia
Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan
Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan

Sempurnakanlah kebahagiaan kami
Dengan menjadikan perkahwinan kami ini sebagai ibadah kepada-Mu
Dan bukti ketaatan kami kepada sunnah Rasul-Mu
Amin..

Nadine kembali melipat surat Abu Hanifah untuknya. Jujur, dia kehilangan kata. Hanya air mata yang menjadi penemannya dalam kesunyian mala mini. Abu Hanifah terlalu baik untuknya. Dan dialah isteri yang tidak tahu menghargai kasih sayang Abu Hanifah.

Nadine mengongoi semahunya. Bahunya sudah terhingut-hingut menahan sendu.

“Nadine minta maaf. Nadine akan jadi isteri yang terbaik untuk seorang suami terbaik. Nadine belajar dari kesilapan. Nadine takkan sia-siakan Abu Hanifah lagi,” ikrar Nadine lewat malam itu.

Pipinya yang lencun dengan air mata disapu bersih-bersih. Wajah tenang suaminya yang sedang lena ditatap dengan sepenuh kasih sayang.


“Saya sayang awak, Abu Hanifah. Sayang bagaimana sayangnya Rasullulah pada Khadijah!”



**
VERSI CETAK TELAH BERADA DIPASARAN :))

Terbitan : Idea Kreatif
Bulan : Februari 2014
Harga : RM26.00






15 comments:

  1. Replies
    1. ish wawa... jgn tau... nanti mika marah... mika marah tak pe lagi... Mr T jeles akak tak tauuuuu

      kak itasukri

      Delete
    2. Assalamualaikum
      senang sekali saya bisa menulis kisah nyata kami
      dan berbagi kepada teman-teman disini.

      Meski hidup dalam keprihatinan, karena hanya mengandalkan penghasilan dari jual gorengan, namun rumah tangga kami terbilang harmonis. Jika berselisih paham, kami selalu menempuh jalan musyawarah. Hal itu wajib kami terapkan untuk menutupi aib dan segala bentuk kekurangan yang ada dalam rumah tangga kami agar tidak terdengar oleh orang luar. Karena begitulah pesan dari para orang tua kami.

      Hari demi hari aku habiskan hanya untuk bekerja dan bekerja. Hal itu aku lakukan, selain sadar akan tanggung jawabku sebagai orang tua , juga ingin menggapai harapan dan cita cita. Yah, mungkin dengan begitu ekonomi keluargaku dapat berubah dan aku bisa menyisihkan sedikit uang penghasilanku itu untuk masa depan anak-anakku dikemudian hari. Namun semua itu menjadi sirna.

      Selanjutnya kami pun melangkah untuk mencobanya minta bantuan melalui dana gaib tanpa tumbal,alhamdulillah dalam proses 1 hari 1 malam kami bisa menbuktikan.

      Jalan ini akan mengubah kemiskinan menjadi limpahan kekayaan secara halal dan tidak merugikan orang lain.

      Alhamdulillah semoga atas bantuan ki witjaksono terbalaskan melebihi rasa syukur kami,
      saat ini karna bantuan aki sangat berarti bagi keluarga kami.
      Bagi saudara-saudaraku yg butuh pertolongan silahkan hubungi
      Ki Witjaksono di:0852-2223-1459
      Supaya lebih jelas kunjungi blog
      KLIK DISINI

      Delete
  2. eh.. wawa pun syg abu.. dah tu mika cemnr? hehe...

    ReplyDelete
  3. Walaupun hanya 10 peratus baknkata pk...tapi best sgt...cepatla keluar...huhuhu

    ReplyDelete
  4. Best nye.sdih sgt.rindu kt abu hnifah kte..

    ReplyDelete
  5. Replies
    1. Boleh beli dgn pk sis, atau dgn publisher terus.. :)

      Delete
    2. Boleh beli dgn pk sis, atau dgn publisher terus.. :)

      Delete