Saturday 4 January 2014

#Bab02 - Doa Cinta Seorang Lelaki


(Nota PK : Nashrin yg sweet..)

Langkah kaki Nadine yang tadinya sangat laju sudah perlahan. Bukan itu saja, sepasang matanya juga sudah dibesarkan. Terkejut sangat Nadine melihat  jambangan mawar merah yang terletak cantik di atas meja. Sebaik saja melihat nama pengirim mawar merah tersebut, terus mukanya berubah masam.

“Tak serik-serik si Mat Bunga Nashrin ni. Orang sudah kata tak suka, tak sukalah. Sibuk saja hantar bunga! Memang sengal betul. Raja sengala sengal,”gerutu Nadine Qhaisara. Mukanya masam bukan main.

Lalu tanpa membuang masa, langkah dihayun menghampiri tong sampah. Tidak menunggu lama, jambangan mawar merah itu sudah berada di dalam tong sampah. Baru puas hatinya.

“Masya-ALLAH! Kenapa buang bunga yang cantik tu? Sayang!”jerit Kak Alin. Tidak sampai lima saat jambangan mawar merah tadi sudah berada di tangan Kak Alin. Bukan main lembut lagi tangan Kak Alin membelai-belai jambangan mawar merah tersebut.

“Siapa yang kasi ni?”

Muka Nadine masam kembali.

“Mat Bunga tu lah.”

Kak Alin sudah terkekeh-kekeh.”

“Nashrin officer CIMB Bank tu?”

“Siapa lagi kalau bukan dia. Memang padan dengan gelaran Mat Bunga tu. Suka sangat hantar bunga walaupun Nadine kata tak nak.”

“Sejak bila kamu tambah follower ni, Nadine?”tanya Kak Alin sambil tersengih-sengih.
“Sejak tiga hari lalu,”balas Nadine acuh tak acuh. Ada rasa kesal kerana menjadi pak sanggup menghantar dokumen penting ke pejabat CIMB Bank. Sudahnya dia berjumpa dengan Nashrin sengal.

“Bertuahlah kamu, Nadine. Sejak kamu single, ofis kita ni sudah jadi macam kedai bunga.”

“Nadine dah ingatkan Nashrin supaya tak hantar bunga lagi, tapi dia degil! Agaknya dia nak Nadine campak bunga-bunga ni semua kat muka dia. Kemudian baru dia sedar diri.”

“Kamu ni, Nadine. Tak baik buat macam ni. Kalau tak suka, beri pada kak Alin. Biar Kak Alin yang simpan.”

“Ambillah Kak Alin. Nadine pun tak nak bunga tu.”

“Kasihan Nashrin. Kalau dia tahu Nadine campak mawar merah pemberian dia ni kat tong sampah, mesti dia sedih.”

“Macam yang Nadine cakap tadi, Nadine sudah halang, sudah beri nasihat. Tapi Nashrin tu memang sengal, Kak Alin. Tak faham bahasa langsung. Banyak kali Nadine beritahu dia Nadine tak suka dan tak akan balas cinta dia tu. Tapi dia tetap nak hantar bunga.”

“Nashrin buat macam tu sebab dia sayang sangat-sangat dengan Nadine. Nadine berilah peluang sekali kat dia.”

Nadine Qhaisara membisu. Ingatannya pada Amirul kembali datang merasuk ketenangan dirinya. Wajahnya sudah sugul semula. Apa khabar lelaki itu sekarang?

Duhai Nadine yang rupawan, lupakanlah lelaki tak guna itu. Mulakan hidup baru. Buka lembaran baru. Nashrin, Shamsul dan lain-lain tunggu masa untuk jadi pasangan hidup Nadine. Buat apa di kenang orang yang tidak sudi. Calon menunggu sudah ada, tunggu apa lagi Nadine? Cepat pilih, nescaya hidup Nadine pasti penuh warna-warni.

Iyalah tu. Penuh warna-warni konon. Entah-entah hitam legam dan legap macam arang. Kemudian calon menunggu itu semua kecewakan Nadine macam apa yang Amirul buat!

Hisy! Takkanlah semua lelaki sama macam Amirul. Buka hati Nadine tu. Pandang dengan sudut positif, jangan asyik negatif saja.

Semua lelaki sama saja! Suka permainkan hati perempuan!

“Nadine,”lembut Kak Alin menyentuh bahu Nadine.

“Nadine belum lupakan Amirul lagi ya?”sambung Kak Alin.

Berubah riak wajah Nadine. Mahu saja air matanya merembes keluar apabila nama Amirul meniti di bibir Kak Alin.

“Nadine, dah tiga bulan. Macam mana susah dan sakit pun, Nadine mesti belajar lupakan Amirul. Amirul bukan untuk Nadine. Nadine mesti hargai diri sendiri. Beri peluang pada diri sendiri untuk suka pada orang lain.”

“Masalahnya bukan Nadine tak pernah cuba, Kak Alin. Cuma Nadine ni lemah sangat agaknya dan muka tembok. Orang tak sudi pun Nadine masih juga tergila-gila dan rindukan dia.”

“Tapi Nadine tak pernah call Amirul lagi, kan?”

“Kalau ikutkan rasa hati ni, memang Nadine nak sangat call Amirul, Kak Alin. Bukan senang Nadine nak pujuk hati ni supaya sedar diri.”

“Bagus. Jangan sesekali Nadine cuba hubungi Amirul. Jangan nampak terhegeh-hegeh depan dia.”

“Benda itulah yang sedang Nadine usahakan, Kak Alin.”

“Kak Alin percaya Nadine boleh jadi macam dulu. Tapi dengan syarat, hati tu buka sikit untuk terima cinta lelaki lain.”

Nadine mengeluh pendek.

Cinta lagi. Boleh tak hari ini jangan bercakap pasal cinta langsung?

Pasal bunga boleh?

Lagi tak boleh!

“Hai Nadine!”sapa Fareed yang baru saja memasuki ruang pejabat tersebut. Bukan main berseri-seri lagi mukanya saat melihat Nadine.

“Untuk you,”lanjut Fareed lagi sambil menyerahkan sekuntum mawar putih pula pada Nadine.

Nadine menghela nafas panjang.

Ini seorang lagi. Tak habis-habis nak mengusik!

“Nadine, jangan buang bunga tu. I ikhlas beri pada you. Putih tu maksudnya suci bersih. Macam itu jugalah persahabatan kita,”ujar Fareed sambil terkekeh-kekeh. Suka sangat dia melihat muka cemberut Nadine.

Kak Alin sudah membesarkan matanya. Sempat dia menyiku Fareed.

“You ni sengaja bagi bunga ni, kan? Sengaja nak buat I geram, kan?”

Makin panjang saja tawa Fareed.

“Alah Nadine, you accept sajalah Nashrin tu. He’s good what. Good looking. Good personality. Good carrear. Apa lagi you nak? Kalau pasal Amirul tu, forget about him. He’s not worth for you.”

“Malaslah nak cakap pasal cinta-cinta ni. I muak nak dengar.”

Fareed sudah melirik nakal.

“Ataupun you nak jadi wife nombor dua I?”ujar Fareed. Kali ini dia sudah tersengih-sengih. Memang dia suka sangat menyakat Nadine.

“Boleh juga. Suruhlah family you masuk meminang. I tunggu,”balas Nadine dengan beraninya. Fareed nak sangat bergurau, jadi hari ini Nadine balas.

“Erk..”luah Fareed sepatah. Terpegun seketika.

Kali ini giliran Kak Alin pula yang tersengih-sengih.

“Padan muka!”kata Kak Alin lantas ikut meninggalkan Fareed terkulat-kulat seorang diri.

Nadine sudah menghayun langkah gontai menuju ke biliknya. Dia malas hendak bercakap tentang hati dan perasaan. Hatinya masih terluka dengan teruk. Perasaannya juga belum stabil. Jadi tolonglah jangan pujuk dia bercinta dengan siapa-siapa lagi.

“Nadine, thanks ya sebab pinjamkan I handkerchief ni. Zaman sekarang jarang ada orang bawa handkerchief. Semua dah beralih pada tisu,”ujar Tiha sambil meletakkan sapu tangan tersebut di atas meja Nadine.

Nadine terpaku seketika. Dia terbata seorang diri. Dia sudah lupa pada sapu tangan tersebut. Betul-betul lupa.

“Janganlah buat muka macam itu, Nadine. I minta maaf, I lupa nak pulang. Semalam I bersihkan almari, kemudian ternampak handkerchief ni. Sorry ya. Lain kali kalau I pinjam barang you lagi, I janji akan pulangkan awal,”lanjut Tiha sebelum melangkah pergi.

Lama Nadine menatap sapu tangan keramat tersebut. Mindanya segera terbayang figura lelaki tinggi lampai yang berkaca mata hitam, berketayap dan berjubah putih itu. Namun dia sudah ingat-ingat lupa raut wajah tuan empunya sapu tangan tersebut.

“Muka dia macam mana ya? Alahai.. Tak ingat pula,”omel Nadine. Meski otaknya bekerja keras. Namun dia gagal. Yang Nadine ingat hanya gigi lelaki itu putih dan bersih.

Nadine menggelengkan kepalanya. Sapu tangan tadi diambil. Tertera sulaman AH pada sapu tangan tersebut.
“AH? Apa ni? Entah-entah nama dia tak? Tapi apa ya? Ahmad Hafisham? Abdul Hafiz? Amir Hamzah? Ataupun Arnold Hudson”teka Nadine sendiri.

Sekali lagi Nadine menggelengkan kepalanya. Sapu tangan pemberian lelaki berjubah dan berketayap putih serta berkaca mata hitam itu segera diletakkan di dalam laci meja kerjanya.


Yang aku nak sibuk-sibuk fikir pasal lelaki berkaca mata hitam, berketayap dan berjubah putih itu kenapa? Macamlah aku boleh berjumpa dengan dia lagi. Nadine, fokus pada kerja sekarang. No more love story!

4 comments:

  1. Kesian mereka yang nak memikat nadine...hatinya terluka sangat dalam

    ReplyDelete
  2. errmmm ..cerita yg menarik juga....TQ cik writer..

    ReplyDelete
  3. Jgn yakin sangat Nadine..cinta dtg sekali lagi...

    ReplyDelete